Hadis: Tata-tertib masuk, keluar tandas

Posted by Zawawi Japilos | 4:26 PM

DARIPADA Anas bin Malik, beliau menghabarkan: “Apabila Nabi Muhammad SAW hendak memasuki tandas, Baginda membaca: “Ya Allah! Aku berlindung dengan Engkau daripada bahaya kotoran dan daripada segala macam yang membahayakan.” (Hadis riwayat Bukhari)


Tandas dianggap sebagai tempat yang jijik dan kotor. Tabiat syaitan adalah menyukai tempat yang kotor seperti tandas.

Oleh itu sebagai Muslim, selain disuruh supaya membaca doa keluar dan masuk tandas, kita diwajibkan mementingkan aspek kebersihan. Ia termasuk perkara asas seperti qadha’ hajat (buang air kecil atau besar).

Islam selaku agama yang sempurna menyediakan tata tertib yang sepatutnya untuk diikuti demi menjamin kesihatan umatnya.

Berikut adalah beberapa adab masuk dan keluar tandas.

Mendahulukan kaki kiri.

Keluar dengan kaki kanan.

Membaca doa sebelum masuk.

Maksudnya: "Ya Tuhan kami, aku berlindung kepada Engkau daripada segala kekotoran."

Duduk hendaklah diberatkan pada sebelah kiri

Tidak menghadap kiblat atau membelakangkannya (sekiranya membuang air di tanah lapang).

Tidak buang air di air tenang, di atas batu, menentang angin, tempat orang ramai singgah berbual, tidak di tempat orang lalu lintas, tidak di bawah pokok yang berbuah dan sebagainya.

Tidak bercakap ketika membuang air.

Tidak beristinja' dengan air di tempat buang air.

Disunatkan beristibrak (bersuara sedikit seperti berdehem) bagi yang membuang air kecil supaya air kencing dapat keluar semuanya.

Ketika keluar tandas disunatkan membaca:

Maksudnya: "Mohon keampunan dari Engkau, segala puji bagi Allah yang menghilangkan daripadaku segala penyakit dan memberi aku kesihatan.

Begitu juga dengan bersuci. Tabiat tidak bersuci (tidak membasuh anggota kelamin sesudah kencing) oleh sesetengah orang yang dianggap perkara biasa sebenarnya mendatangkan azab yang amat besar di akhirat kelak. Hal ini seperti disebutkan dalam hadis riwayat Ibnu Abbas yang menceritakan : “Nabi berjalan melalui sebuah kebun di Madinah atau Makkah. Lalu kedengaran oleh Baginda suara dua orang sedang diseksa dalam kuburnya. Maka bersabda Rasulullah : “Kedua-duanya diseksa bukanlah kerana dosa besar.”

Kemudian Baginda melanjutkan perkataannya: “Yang seorang diseksa kerana kencing di tempat terbuka dan yang seorang lagi kerana membuat fitnah supaya orang bermusuh-musuhan.”

Selepas itu, Rasulullah menyuruh supaya mengambil pelepah tamar, lalu dipatah dua oleh baginda dan diletakkan di atas kedua-dua kubur itu, masing-masing satu pelepah.

Seseorang pun bertanya: “Ya Rasulullah! Mengapa kamu lakukan seperti itu?” Jawab Baginda : “Mudah-mudahan kedua-duanya mendapat keringanan selama pelepah tamar itu tidak kering.”

Jelasnya, membuang air tanpa bersuci atau membuang air di tempat terbuka seperti di tepi jalan tanpa bersuci dilarang oleh Islam. Hal ini kerana ia mencerminkan adab yang kurang sopan, selain mendedahkan seseorang itu kepada jangkitan penyakit.

0 comments